10 Perangkap Syaitan Musnahkan Manusia
Allah berfirman, bermaksud :"Syaitan memberikan janji dan membangkitkan angan-angan kosong kepada mereka, walhal syaitan itu tidak menjanjikan kepada mereka selain daripada tipu daya belaka. Tempat mereka itu di neraka Jahanam dan mereka tidak memperoleh tempat untuk lari daripadanya." - (An-Nisa: 120-121).
Keterbukaan manusia mengundang kehadiran syaitan ke dalam diri masing-masing sebenarnya berkait rapat dengan sifat mazmumah yang diamalkan dalam kehidupan seharian mereka. Melalui pelbagai jenis sifat terkeji itulah dengan secara sedar atau tidak, kita memberikan ruang dan laluan kepada syaitan untuk masuk serta bertapak di dalam diri kita. Apabila syaitan merajai diri, seseorang itu pasti sanggup melalukan apa saja perbuatan keji kerana keinginan dan semarakan nafsu sudah mula sebati dalam diri. Suatu organ istimewa kurniaan Allah kepada setiap manusia ialah hati yang fitrah kejadiannya adalah untuk menerima petunjuk serta hidayah Allah. Hati juga sebenarnya mudah menerima nafsu yang datangnya daripada syaitan. Berlumba-lumbalah malaikat dan syaitan untuk menguasai hati manusia. Syaitan akan bekerja keras siang dan malam semata-mata untuk menawan pemilik hati itu agar mereka melanggar perintah Allah.
Beruntung golongan manusia yang berjaya menangkis godaan syaitan dan mengelakkan hati daripada dihuni syaitan durjana. Seorang ulama pernah berkata "Saya sentiasa berfikir dan memerhati, dari pintu mana syaitan menghasut dan meneyesatkan manusia. Tiba-tiba saya dapati syaitan datang daripada 10 pintu:
1) Pintu KESOMBONGAN dan KEANGKUHAN,
2) Sifat BAKHIL dan KEDEKUT,
3) Sifat TAKBUR,
4) Sifat RIAK dan SUKA DIPUJI,
5) Sifat HASAD DENGKI,
6) Sifat SUKA MEMANDANG REMEH KEPADA ORANG LAIN,
7) Sifat UJUB atau BANGGA DIRI,
8) Sifat SUKA BERSENANG LENANG,
9) Sifat SUKA BERANGAN-ANGAN dan
10) Sifat SUKA BERBURUK SANGKA.
Sesungguhnya kecintaan manusia terhadap 10 sifat yang dinyatakan itulah sebenarnya yang membawa kesesatan kepada manusia di dunia ini. Apabila hati sudah bertaut dengan sifat mazmumah akan mudahlah syaitan menyesatkan manusia daripada jalan yang lurus.
Justeru, berlindunglah selalu daripada bisikan syaitan dengan sentiasa menyebut "Aku berlindung daripada syaitan yang direjam." Kita juga dianjurkan selalu berdoa dengan menyebut: " Ya Tuhan kami, jangan Engkau jadikan hati kami condong kepada kesesatan selepas Engkau memberi petunjuk kepada kami dan kurniakanlah kepada kami rahmat di sisi Engkau kerana sesungguhnya Engkaulah Maha Memberi (kurnia)." - (Al-Imran: 8).
Apa Kata Hati?~ A'uzubillahiminasshaitonirrajimm.... Bismillahirrahmanirrahim...
No comments:
Post a Comment